MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
ARAU 15 Sept. – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menjadi hos untuk Majlis Makan Malam ‘Perlis Soiree ‘bagi meraikan delegasi persidangan ‘Proposed ASEAN – China Heritage Dimensions of National Arts (DNA) Initiative 2024’ di Galeri Diraja Arau baru-baru ini.
Turut sama hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Budaya), Kementerian Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Majlis yang bertemakan ‘Kampung Melayu’ ini dihadiri oleh para peserta dari Indonesia, Laos, Thailand, Myanmar, Kemboja, Singapura dan China. Selain dijamukan dengan menu makan serta kuih-muih tradisional kampung, para peserta dapat mengadap dan beramah mesra bersama Baginda berdua disajikan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik seperti beberapa permainan tradisional batu seremban, boling kelapa dan terompah gajah menggunakan tempurung kelapa.
Datuk Mohd Yusri dalam ucapan menjunjung kasih menyatakan, selain mempromosikan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024, persidangan DNA ini bertujuan untuk menggalakkan pertukaran budaya dengan menggalakkan dialog dan interaksi dalam kalangan peserta untuk memupuk rasa hormat, persefahaman, dan penghargaan terhadap warisan budaya yang pelbagai di negara-negara ASEAN.
Beliau yakin akan hubungan budaya dalam ASEAN, serta antara ASEAN dan China akan terus bertambah kukuh. Warisan bersama yang diraikan pada hari ini bukan sekadar pautan kepada masa lalu, bahkan ia adalah asas untuk masa depan kita.
“Perlis menawarkan pengalaman budaya yang unik dan asli untuk pelancong. Negeri yang menawan ini, walaupun tidak besar, ia kaya dengan warisan dan tradisi. Pengunjung boleh meneroka budaya Melayu tradisional melalui seni tempatan yang rancak, seperti tenunan Songket yang rumit dan sulaman Tekat”, tambah beliau lagi.
MOTAC akan terus komited bagi memperkasakan ekosistem inklusif dalam industri pelancongan dan kebudayaan dengan dasar untuk memacu sektor pelancongan dan kebudayaan yang berdaya saing dan mampan, yang penting untuk pembangunan sosio-ekonomi negara ini.
MOTAC juga akan terus membangunkan tenaga kerja yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan inovatif yang akan memacu sektor-sektor ini ke hadapan bagi memastikan Malaysia akan terus kekal sebagai destinasi pilihan untuk pelawat dari seluruh dunia, di samping mengekalkan kekayaan warisan budaya kita.
Sebagai rekod, persidangan DNA itu yang bermula 8 September 2024 dan berakhir pada 14 September 2024 telah menjalankan pelbagai aktiviti lawatan dan pengisian kesenian di sekitar negeri Perlis. Majlis perasmian pada 9 September 2024 lalu juga turut dirasmikan oleh Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis di Kangar.
Sumber daripada Suara Merdeka