MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KUALA PERLIS 19 Ogos – Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis terima kunjungan DiRaja oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada sabtu petang.
Berangkat sama adalah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud bersama-sama anakanda Baginda berdua iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Perlis, Bakar Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor selaku Ketua Penyelaras Projek Transformasi DiRaja tersebut bersama para pemimpin masyarakat setempat.Baginda berdua meluangkan masa sekitar 1 jam bagi menikmati keindahan dan keunikan Kampung Warna-warni yang merupakan kampung nelayan paling utara di Semenanjung Malaysia.
Baginda juga berkenan mendengar sembah taklimat mengenai pelaksanaan program yang telah dilaksanakan bermula tahun 2020 ketika Covid-19 melanda dunia yang diilhamkan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail oleh MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama pelbagai Jabatan serta Agensi Negeri dan juga Persekutuan serta pihak swasta dan NGO selain penduduk tempatan.
Baginda berdua turut berkenan membuat ‘dekorasi sajian Laksa Kuala Perlis’ yang merupakan juadah unik tempatan selain turut dibawa melawat ke beberapa lokasi seperti ‘Laman Bunga Kertas’, ‘Laman Putra’, ‘Pusat Pembelajaran Komuniti MAIPs’, ‘Pengkalan Tangga Batu Raja Syed Alwi’, ‘Anjung Persinggahan Raja’ dan ‘Laman Rumah Penghulu Omar.’
Baginda turut berkenan merasai beberapa sajian tradisi selain Laksa Kuala Perlis iaitu ‘Garam Belacan’, ‘Aiskrim Malaysia Perlis’ dan ‘Dodol Warisan’ selain turut dipersembahkan ‘Senam Tari Canggung’.
Keberangkatan Baginda dan Kerabat DiRaja diakhiri dengan sesi menandatangani plaka keberangkatan lawatan di “Rumah Wataniah Negeri Sembilan” oleh Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Besar Seri Menanti dan Tunku Zain Al-‘Abidin serta dipersembahkan Tengkolok “Putra Julang Darjat” daripada MAIPs yang merupakan tengkolok rasmi kebangaan Negeri Perlis yang menjadi adat memuliakan tetamu kenamaan sebelum berangkat pulang.
Sumber: Suara Merdeka