MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Badminton Malaysia Junior International Challenge 2024 di Dewan 2020 di sini baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin yang diiringi anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail disambut Presiden Persatuan Badminton Perlis, Aamar Hashim.
Menerusi kunjungan tersebut, baginda turut berkenan menyaksikan dua perlawanan bagi kategori beregu lelaki yang dipertandingkan dalam kejohanan berkenaan.
Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin juga menzahirkan rasa sukacita atas pemilihan Perlis sebagai tuan rumah bagi kejohanan berprestij tinggi di peringkat antarabangsa tersebut.
Baginda berharap agar negeri ini terus diberi peluang menjadi pilihan bagi penganjuran sebarang kejohanan dan aktiviti sukan peringkat kebangsaan atau antarabangsa khususnya sewaktu kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPS) 2024/2025 ini.
Pada kesempatan sama, Tuanku Syed Faizuddin juga menyarankan ibu-bapa pelajar yang berminat dalam sukan badminton meluangkan masa membawa anak-anak mereka menyaksikan pertandingan ini untuk memberi pendedahan awal.
Titah baginda, langkah itu dapat dijadikan sebagai pembakar semangat buat golongan berkenaan khususnya selepas negara berjaya meraih dua pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik melalui sukan badminton.
Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin dan anakanda baginda juga turut berkenan merakamkan foto kenangan bersama para pemain badminton yang mewakili pasukan remaja kebangsaan dalam kejohanan itu.
Kejohanan selama enam hari bermula 6 sehingga 11 Ogos itu melibatkan penyertaan 331 pemain badminton dari dalam dan luar negara.
Terdapat beberapa kategori dipertandingkan meliputi acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Antara negara yang terlibat dalam kejohanan pada kali ini termasuklah Indonesia, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan, Ireland, Kanada, Kazakhstan, Azerbaijan, England dan Iran.
Sumber: Utusan