MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
PADANG BESAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Semarak Merdeka Komuniti Madani 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chuping di sini baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (Sektor Pengurusan Sekolah), Hamidi Md. Saad.
Hadir sama, Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS), Reswan Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Encorp Berhad, Hazurin Harun dan Pengarah Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi.
Menerusi program itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan rasa sukacita atas penganjuran berkenaan yang berjaya menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur untuk sama-sama menjalankan pelbagai aktiviti disediakan.
Titah baginda, langkah tersebut secara tidak langsung dilihat dapat mengukuhkan ukhwah dan silaturahim khususnya buat masyarakat di sekitar Felda Chuping.
“Pelaksanaan program selama dua hari itu merupakan anjuran KUIPs dan turut mendapat kerjasama daripada PIBKS serta Komuniti Felda Chuping Perlis. Difahamkan, program itu juga bertujuan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dan memperkukuhkan hubungan PIBKS bersama komuniti setempat,” titah baginda.
Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dengan mengacau bubur asyura bersama komuniti yang terdiri daripada penduduk dan masyarakat setempat.
Antara aktiviti lain yang turut dianjurkan adalah seperti pertandingan deklamasi sajak, kuiz kemerdekaan, ceramah merdeka, fun walk, pertandingan gambar Merdeka Madani, sukaneka dan beberapa lagi.
Sumber: Utusan