MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR: Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) menyasarkan perkongsian bersama Namibia terutama dalam hal ehwal Islam seperti pengurusan halal, pendidikan serta aktiviti kebajikan dan kemanusiaan di negara benua Afrika itu.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, tiada pihak rugi sekiranya MAIPs berkongsi ilmu dan pengalaman, sebaliknya ia akan mempertingkatkan lagi tahap kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan golongan sasar.
Baginda bertitah demikian melalui kenyataan media dikeluarkan MAIPs susulan lawatan 'Safar Ilmi MAIPs' ke Namibia.
Dalam lawatan itu Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi oleh anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan bertemu Naib Presiden Republik Namibia, Netumbo Nandi-Ndaithwah bagi membincangkan kerjasama dua hala antara Perlis dan Namibia.
Keberangkatan disambut Netumbo bersama-sama Menteri Hal Ehwal Presiden Namibia, Christine Hoebes di pejabat beliau di Dewan Negara, Auasblick, Windhoek.
Turut mengiring ialah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Hadir sama adalah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dan Setiausaha Ketiga, Norazila Roslan.
Dalam pertemuan berlangsung lebih sejam itu, pelbagai perkara berkaitan hubungan dua hala Perlis dan Namibia diperbincangkan.
Netumbo dalam ucapan aluannya menjelaskan Namibia sedang memberikan fokus dalam bidang pendidikan, pelancongan, hospitaliti, pengurusan sumber minyak dan tenaga.
Malah, mereka turut menawarkan perkongsian pengalaman serta pelaburan Malaysia dalam pengurusan penerbangan komersial tempatan.
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menawarkan peluang pengajian kepada 15 pelajar Muslim dari Namibia bagi melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan berharap Perlis dapat melaksanakan perkongsian berkaitan pengurusan halal kepada Namibia.
Sumber daripada Berita Harian