MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengadakan lawatan ke Rumah Kebajikan Muhammadiyah (Muhammadiyah Welfare Home (MWH)) di Singapura.
Keberangkatan Baginda yang diiringi oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kewangan Dan Pengukuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang turut disertai oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin itu disambut Presiden Persatuan Muhammadiyah Singapura, Ustaz Muhammad Azri Azman serta dua Naib Presidennya, Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat dan Ustaz Abdur Rahim Abul Nasir.
Sejurus berangkat tiba di MWH, Baginda berkenan meluangkan masa hampir 30 minit mendengar taklimat bergerak berkaitan pengurusan perlindungan penghuni selain turut meninjau kemudahan yang disediakan bagi pelajar yang dirujuk oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura.
MWH diwartakan di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Cap 38), menempatkan kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 19 tahun terdiri daripada mereka yang diabaikan, didera atau kehilangan tempat tinggal termasuk individu yang berada di bawah Perintah Bimbingan Keluarga.
MWH pada masa kini beroperasi di Jalan Pasir Ris, dilengkapi pelbagai kemudahan seperti ruang penginapan, dewan aktiviti, pusat komputer dan multimedia, bilik dan galeri seni, bengkel masakan serta kebun aktiviti agro.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga turut berkenan mendengar taklimat berkenaan organisasi Persatuan Muhammadiyah Singapura yang dikongsikan oleh Setiausaha Agungnya, Roszanah Abd Salim.
Tuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan ucapan tahniah kepada Pengurusan Muhammadiyah dan MWH atas segala usaha yang telah dilaksanakan dalam menyantuni kelompok komuniti yang memerlukan.
Baginda turut berharap agar kedua belah pihak antara Singapura dan Perlis dapat terus melestarikan kerjasama demi kebaikan bersama.
Di akhir program Baginda turut berkenan menyertai sesi ramah mesra bersama warga Muhammadiyah.
Sumber daripada Suara Merdeka