MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, para pelajar perlu melengkapkan dengan ilmu dan berpegang teguh kepada agama supaya menjadi teladan kerana masa hadapan negara adalah terletak di tangan mereka
Baginda bertitah, sekolah pula berperanan besar untuk menambah nilai pelajar dengan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang agar berupaya menghadapi cabaran dunia masa kini.
“Namun kesempurnaan nilai tambah ini tiada ertinya jika agama tidak menjadi asas pegangan dalam menjalani kehidupan,” titah Baginda.
Raja Muda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2023 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Perempuan Alawiyah, Kangar anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman; dan Pengetua sekolah, Shakirah Ahamad.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah sebagai guru pula, mereka perlu menghayati peranan mendidik pelajar dari segi akademik, menerapkan nilai-nilai murni, membentuk keperibadian dan jati diri selaras dengan kehendak agama.
“SMK Agama Perempuan Alawiyah Kangar antara institusi pendidikan yang menjadi pilihan ibu bapa menempatkan anak-anak mereka di negeri ini,” titah Baginda.
Baginda bertitah, sekolah ini juga telah menerima pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan antaranya Cikgu Juara Digital, Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021, Cikgu Khairil Azmir Ahmad; Anugerah Kokurikulum sempena Multaqa Pengetua Guru Besar Sekolah Agama Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2022 dan Anugerah Pendidikan Digital Peringkat Kebangsaan 2022 Kategori Khas Sekolah Menengah Terbaik anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan.
Raja Muda yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis turut berkenan merasmikan pelancaran Bilik Studio Layar Hijau sekolah berkenaan.
Baginda berdua turut dipersembahkan dengan taklimat mengenai fungsi bilik studio tersebut dan bagaimana ia boleh membantu meningkatkan prestasi sekolah.
Seramai 401 pelajar tingkatan 1, 2 dan 3 sekolah berkenaan menyertai program tersebut.
Sumber: Suara Merdeka