MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR, 18 April 2019 (Khamis) - Raja Muda Perlis menitahkan supaya Malaysia menjadi negara yang terulung dalam mengurus ekonomi, menjaga kebajikan rakyat dan mendepani inovasi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Malaysia kini sedang menuju ke arah menjadi negara maju menjelang 2020, harus harus menjadi antara negara teratas dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi.
Selaras dengan itu, titah baginda, masyarakat di negeri Perlis seharusnya juga dididik dan perlu memiliki mentaliti kelas pertama dalam tindakan terutamanya dalam aspek kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar.
"Antaranya dalam amalan pembuangan sampah dan sisa buangan dengan betul seiring amalan 3R serta penggunaan teknologi hijau untuk penjagaan alam sekitar sebagaimana yang diamalkan di negara-negara maju seperti Skandinavia, Jepun dan Jerman.
"Pemeliharaan alam sekitar dan amalan kitar semula merupakan perkara penting dalam usaha kita menikmati kelestarian alam di era globalisasi ini.
"Bagi merealisasikan agenda pembangunan negeri dan negara, kualiti hidup masyarakat harus dipertingkatkan. Selain aspek pembangunan, peningkatan tahap kualiti alam sekitar yang mapan juga amat penting, titah baginda.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Program Op Sifar Cicir Sekolah peringkat SMK Derma, SK Bintong dan SK Padang Kota’ yang diadakan di Masjid Al Ariffin Padang Katong, di sini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Unit Kutipan dan Agihan, Bahagian Pengurusan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Syed Aisam Syed Idrus Al-Habshee
Turut hadir ialah Panglima Markas Infantri 30 Briged di Kem Bukit Cowder Mata Ayer Perlis, Brigadier Jeneral Hassan Embong
Program ini disekalikan dengan ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-27 bagi tahun ini.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, baginda berharap usaha-usaha bagi meningkatkan kesedaran masyarakat bukan hanya terletak di bahu pihak berwajib semata-mata, bahkan menjadi tanggungjawab segenap lapisan masyarakat.
Baginda turut memuji langkah yang diambil oleh ADUN Kuala Perlis serta kepimpinan masyarakat di sana yang menginisiatifkan program ‘Plogging’ secara berkala di setiap kampung di kawasan mereka untuk dilaksanakan.
Baginda amat berharap agar program ini berterusan dan semua masyarakat Kuala Perlis beramai-ramai menyahut cabaran untuk mengambil bahagian setiap kali ia diadakan sebagai satu gaya dan budaya hidup baru dan tidak bergantung kepada kehadiran sukarelawan dari anggota berunifom, pihak berkuasa tempatan dan juga para pelajar IPT dan juga sekolah dari luar semata-semata untuk datang membersihkan keindahan imej Kuala Perlis.
"Ia hendaklah bermula dengan tidak membuang sampah dengan sewenang-wenangnya di merata tempat," titah baginda.
Bersempena program itu baginda turut berkenan merasmikan projek peningkatan sosio ekonomi asnaf MAIPs berupa sebuah kedai besi yang diusahakan oleh seorang bekas tentera, Saad Kamis (No Tel : 0134708387) yang beralamat di No 80 Lorong 4 Taman Dato Jaafar, Kangar.
Sumber daripada Utusan Online