Pejabat SUK perlis

Majlis Agama Dan Istiadat Melayu Perlis - “Tuntutan Ilmu Tiada Pengakhirannya” – Raja Perlis n

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS

Log Masuk

A- A A+
WARGA MAIPs

MAIPs STAFF MENU

Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.

ORANG AWAM
PERKHIDMATAN
MUAT TURUN
“Tuntutan Ilmu Tiada Pengakhirannya” – Raja Perlis

“Tuntutan Ilmu Tiada Pengakhirannya” – Raja Perlis

/ Berita Terkini MAIPs / Isnin, 21 Mac 2022 15:01

Pauh Putra – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Konvokesyen kali ke-14 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis di Dewan Harumanis PTSS Pauh Putra pada pagi tadi.

 

Keberangkatan Raja Perlis ke Majlis Konvokesyen kali ke-14 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis turut diiringi oleh Raja Muda Perlis.

 

Dalam ucap awalnya, baginda bertitah,

“Bergraduasi bukanlah bermakna berakhirnya misi pencarian ilmu. Usaha menuntut ilmu perlu diteruskan, sama ada secara formal mahupun tidak formal. Menuntut ilmu itu, tiada pengakhiran dan batasannya, malahan merupakan proses sepanjang hayat.”

Sehubungan dengan itu, baginda menyeru agar graduan terus berusaha mencari ilmu untuk memperkayakan lagi pengetahuan, lantas menjadikannya sebagai satu budaya yang subur dalam diri masing-masing.

Raja Perlis turut berpandangan bahawa bergraduasi bukan bermaksud hubungan antara bekas pelajar dengan institusi pendidikan berakhir. Graduan masih boleh menyumbang kepada institusi pendidikan melalui persatuan alumni.

“Para graduan juga boleh berkongsi pengalaman berkaitan dengan pengurusan masa dan kewangan, pembentukan sahsiah diri dan watak mahupun bidang kerjaya sebagai panduan dan inspirasi kepada pelajar lain.”

Demikianlah titah baginda yang mengatakan bahawa alumni merupakan satu daripada medium penting dalam usaha memberikan khidmat pementoran (mentoring) tentang peluang pekerjaan dalam industri dan membuka laluan bagi pelajar untuk menjalani latihan praktikal atau menimba pengalaman bekerja dalam organisasi di tempat alumni berada.

“Oleh itu, sebagai alumni PTSS, tanamkanlah niat dan azam untuk menyumbang sesuatu perkara yang memberikan manfaat kepada institusi PTSS dengan cara dan skala yang pelbagai,” titah baginda dalam majlis graduasi yang melibatkan graduan pengajian sesi Disember 2018 hingga Disember 2020.

Majlis konvokesyen ini turut diiringi oleh baginda Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sementara itu, keberangkatan Raja Perlis dan Raja Muda Perlis disambut baik oleh Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Zubaidah Aman dan Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan.

Pada masa yang sama, Graduan Diploma Pengurusan Acara, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman telah menerima Anugerah DiRaja dan turut menerima biasiswa sejumlah RM2000 daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Raja Perlis berkenan berangkat menyampaikan Anugerah DiRaja kepada Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman, Graduan Diploma Pengurusan Acara.

Pada akhir majlis konvokesyen ini, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan, ibu bapa dan waris, serta pendidik di PTSS atas kejayaan yang dikecapi ini. Titah baginda lagi:

“Semoga pengalaman di PTSS ini akan menjadi kenangan terindah dalam hidup para graduan, yang pastinya akan dirindui suatu hari nanti.”

Sumber daripada Jendela DBP

Please publish modules in offcanvas position.

splwpk-procurement splwpk-online-e-participation Dasar Privasi

Dasar Privasi

Dasar Privasi

Penafian

MYHRMIS MOBILE