Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Zakat

Zakat (زكاة) (dari kata tazakka - mensucikan) (bahasa Inggeris: almsgiving atau tithing) ialah derma yang wajib diberikan orang Islam yang mampu kepada 8 golongan (asnaf) yang berhak menerimanya. Ia merupakan rukun ketiga dari Rukun Islam.

 

Dari segi bahasa zakat bererti bersih, suci, subur dan berkembang.

Dari surah At-Taubah (09), ayat 103:

 

“(۱۰۳) خُذۡ مِنۡ أَمۡوَالِهِمۡ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡ إِنَّ صَلاَتَكَ سَكَنٌ لَّهُمۡ وَاللّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ”

 

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu(Muhammad) itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

 

Manakala dari segi syarak, zakat ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya.

 

Menurut siri ceramah agama Islam yang dikomentarkan oleh bekas Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, beliau telah berkata bahawa Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata bahawa: "Berilah zakat kepada seseorang (yang fakir miskin) itu menjadi kaya". Ustaz Dr. Asri telah menerangkan bahawa kenyataan yang dimaksudkan oleh Saidina Umar Al-Khattab itu membawa erti pemberian zakat perlu dilaksanakan sehingga tiada lagi orang fakir miskin serta orang fakir miskin itu telah keluar (bebas) dari wilayah kefakirannya itu

 

Mana-mana individu yang ingin membayar zakat harus di ambil kira syarat wajib zakat. Ia perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat sebarang taksiran. Syarat-syarat tersebut adalah:

 

·         Islam

·         Merdeka

·         Sempurna milik

·         Harta usaha yang baik sebagai sumber zakat

·         Cukup nisab (jumlah perolehan untuk berzakat genap atau melepasi nilai minimum)

·         Cukup haul (genap setahun Hijriah atau tahun Masihi)

·         Niat untuk berniaga (zakat perniagaan sahaja)

·         Pengertian Islam

 

Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja.  

 

Pengertian Merdeka

 

Seseorang yang ingin membayar  zakat itu ialah bukan tergolong dalam kalangan hamba abdi bermaksud mereka yang benar-benar bebas dari era penjajahan secara terang dan jelas, dimana wilayahnya tidak berada dalam kancah penindasan dan peperangan akibat penjajahan. Maka golongan ini diwajibkan membayar zakat.

 

Sempurna Milik

 

Harta yang hendak dizakat hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat.

 

Harta usaha yang baik sebagai sumber  zakat

 

Para Fuqaha’ merangkumi semua pendapatan dan penggajian sebagai “Mal Mustafad” iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.

 

Cukup nisab

 

Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas atau 196 gram perak.

 

Cukup haul

 

Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.

 

Niat untuk berniaga

 

Khusus buat para peniaga yang telah memperoleh pulangan dan pendapatan hasil perniagaan dan menepati semua syarat wajib diatas wajib membayar zakat perniagaan.

 

Zakat terbahagi kepada dua jenis iaitu:

 

·         Zakat fitrah

·         Zakat harta

 

Zakat fitrah

 

Pembayaran zakat fitrah dibayar pada bulan Ramadhan sahaja mulai 1 Ramadhan hingga 1 Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri.

 

Zakat harta

 

Manakala zakat harta boleh dibayar pada bila-bila masa. Kadar zakat harta ialah 2.5% dari jumlah harta. Ia bermaksud segala harta benda kita, 2.5% dari harta kita itu adalah bukan hak kita tetapi hak golongan 8 asnaf yang layak menerima zakat daripada kita. Di Indonesia, zakat harta dikenali sebagai zakat maal.

 

Zakat harta wajib dikeluarkan kerana ia adalah satu jalan jihad kepada Allah dan Islam. Dari surah At-Taubah, ayat ke-88, (9:88):

 

“(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan dan mereka itulah juga yang berjaya.”

Manakala dari surah An-Nisaa', ayat ke-95, (4:95):

 

“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman selain daripada orang-orang yang ada keuzuran dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar."