Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Transformasi MAIPs

"Tuanku Syed Faizuddin Putra : Mengangkasa Transformasi MAIPs Yang Unggul"

Oleh :

Haji Mohd Nazim Bin Haji Mohd Noor ,Ketua Pegawai Eksekutif 

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis 

Menelusuri sejarah, semasa di era pemerintahan Siam dan Inggeris, pengurusan hal ehwal Agama Islam di Negeri Perlis ditadbir oleh Raja Pemerintah yang diangkat darjat sebagai Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.  

Rentetan itu, Al-Marhum Tuanku Syed Alwi Ibni Al-Marhum Syed Saffi Jamalullail telah menubuhkan Majlis Agama Islam Perlis pada tahun 1920. Setelah Perlis menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Januari 1948, maka ditubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selari dengan limpah perkenan Al-Marhum Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, Raja Perlis ke-6 yang telah memperkenankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis pada tanggal 1 Februari 1948.  

Sayugia itu, peranan MAIPs dalam mempertahankan ketinggian Agama Islam bersendikan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah bersesuaian Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis sentiasa dilestarikan. 

Kepimpinan MAIPs yang diterajui oleh seorang Yang DiPertua merupakan asas kepada kejayaan MAIPs yang bertali arus. Bermula dari Allahyarham Haji Ahmad Bin Muhammad atau lebih dikenali sebagai Haji Mat Hakim sebagai Yang DiPertua MAIPs pertama dicatatkan pada tahun 1940, telah disambung oleh 3 orang lagi Yang DiPertua sebelum diterajui oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang ketika itu sebagai Raja Muda Perlis sebagai Yang DiPertua kelima bermula tahun 1986 sehingga  2001. 

Kecemerlangan dan gaya kepimpinan hebat Tuanku Syed Sirajuddin Putra dalam menerajui MAIPs, telah diwarisi oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis sebagai Yang DiPertua MAIPs keenam bermula tanggal 14 Disember 2001 sehingga sekarang. Peruntukan Seksyen 4, Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Perlis menyatakan bahawa ; ”Maka hendaklah ada suatu badan bernama ”Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis” untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu.”

Bagi menggalas amanah dan tanggungjawab yang suci ini, peranan MAIPs yang dipimpin dengan penuh hikmah dan bijaksana oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra begitu utuh dan kukuh. Tuanku Syed Faizuddin Putra dilihat telah melaksanakan satu perubahan besar kepada MAIPs dengan menggagaskan transformasi pengurusan MAIPs secara menyeluruh.

Terukir indah dalam lipatan sejarah, keperihatinan Tuanku Syed Faizuddin Putra terhadap kecemerlangan pengurusan MAIPs apabila Baginda telah menitahkan hasrat agar pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri,  mengenalpasti kaedah dan mekanisme terbaik ke arah melaksanakan transformasi pengurusan MAIPs.  

Sejajar dengan perubahan persekitaran global yang berhadapan dengan pelbagai cabaran monumental yang menuntut kepada perubahan dan islah, maka MAIPs telah mengalami proses transformasi pengurusan secara holistik bermula pertengahan tahun 2011. Transformasi MAIPs secara berfasa, diperkuat dengan gagasan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pemacu transformasi ummah yang dijulang dalam Kongres MAIN Seluruh Malaysia Kali Pertama yang berlangsung pada 26 dan 27 September 2011.  

Ekoran daripada itu, MAIPs marak menuju transformasi dengan melaksanakan pelbagai perubahan. MAIPs telah melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang menerajui pengurusan MAIPs dan bertindak sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang sebelum ini dilaksanakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis. Pengasingan ini adalah bertepatan dengan kehendak dalam peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis Tahun 2006, Seksyen 16. 

Seiring keperluan terkini, MAIPs telah membuat penambah baikan sturuktur organisasi. MAIPs telah diperkemaskan dengan mewujudkan 3 Bahagian Utama berikut : 

a)    Bahagian Khidmat Pengurusan & Keurusetiaan 

b)    Bahagian Pengurusan Zakat 

c)    Bahagian Pembangunan Wakaf dan Hartanah Mal 

Hasil transformasi pada pengurusan organisasi MAIPs, telah menatijahkan perubahan positif dalam pengurusan zakat, wakaf dan sumber am MAIPs. Pelbagai Skim Agihan Zakat telah diperkemas, selain turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu warga asnaf yang memerlukan santunan dan bantuan daripada MAIPs. Dalam aspek sumbangan kepada asnaf, Tuanku Syed Faizuddin Putra sentiasa menjunjung falsafah untuk memberikan "joran" dan bukan sekadar memberikan "ikan".  

Sehubungan itulah Baginda telah memperkenankan penubuhan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) untuk memberikan perhatian khusus kepada usaha untuk mengeluarkan asnaf dari belenggu kemiskinan. 

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga telah menzahirkan keprihatinan dalam menyantuni warga asnaf. Baginda telah memperkenankan "Program MAIPs Peduli" iaitu aktiviti berbasikal yang diketuai oleh Baginda untuk singgah di rumah-rumah asnaf di seluruh Negeri Perlis selain menjadi rutin untuk Baginda singgah menunaikan solat berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau di Perlis. Baginda turut memperkenalkan "Program Hijrah Minda" yang dilaksanakan bagi tujuan mewujudkan masyarakat rakyat Perlis bermentaliti kelas pertama yang dilaksanakan di masjid-masjid seluruh Negeri Perlis pada setiap hari jumaat selain turut berkenan menyampaikan agihan zakat kepada masyarakat. 

Menyentuh aspek pengurusan wakaf dan sumber am MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut melancarkan pelbagai inisiatif ke arah mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amalan berwakaf dan bersedekah. Baginda telah melancarkan Skim Wakaf Tunai MAIPs pada November 2012 serta melancarkan beberapa projek mercu tanda seperti Bangunan Wakaf MAIPs bagi Pusat Perkhidmatan Hemodialisis di Hospital Tuanku Fauziah selain turut dilaksanakan Projek Pusat Pengurusan Jenazah (PPJ) Wakaf MAIPs serta Dewan Kuliyyah MAIPs selain turut melancarkan Tabung Baraatuz Zimmah (t-BAZ) bagi pengurusan wang tidak patuh syariah pada Julai 2014. 

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut memberikan perhatian dalam bidang pendidikan dan dakwah melalui MAIPs. Baginda telah berkenan untuk menubuhkan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) serta turut memberikan perhatian kepada pendidikan di Sekolah-sekolah Agama dan Maahad-maahad Tahfiz di Negeri Perlis. Cadangan untuk pelaksanaan Sekolah Agama Petang Perlis turut diperkenankan oleh Baginda selain memperkenankan tawaran biasiswa MAIPs kepada warga asnaf.  

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail amat memberikan kepada usahawa dakwah dan perkongsian ilmu. Baginda telah merasmikan penubuhan "Centre of Sunnah MAIPs" selain memperkenankan pewujudkan  Institut Sunnah dan Irsyad (ISNAD) dan Skim Muballigh MAIPs di Jabatan Mufti Negeri Perlis. Kecintaan Baginda kepada budaya ilmu di Negeri Perlis turut terzahir apabila mewujudkan "Anjung Buku-buku Agama dan Pusat Rujukan Islam" di Perpustakaan Awam Arau selain sering berangkat hadir ke pelbagai program wacana ilmu. Tokoh-tokoh ilmuan tempatan dan antarabangsa turut diundang bagi sama-sama berkongsi maklumat dan pengalaman. Tidak hairanlah apabila tokoh-tokah dan figura antarabangsa seperti Prof. Dr. Taareq Ramadan, Dr. Bilal Phillip, Syeikh Dr. Abd Rahman Sudais, Syeikh Al-Budair, Syeikh Abd. Mohsen Al-Qasim, Ust Nouman Ali Khan, Dr. Zakir Naik dan Syeikh Hussin Yee telah dan sering menyampaikan pengisian ilmu kepada masyarakat di Negeri Perlis. Program Perkampungan Sunnah yang dilaksanakan secara kerjasama oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis bersama MAIPs turut dilaksanakan. 

Menyentuh aspek hal ehwal antarabangsa, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut membawa dimensi baru kepada keterlihatan antarabangsa MAIPs. Baginda sentiasa membawa nama MAIPs dalam setiap kesempatan kunjungan rasmi atau peribadi Baginda ke luar negara. Baginda turut meraikan anak-anak warga Perlis dalam "Program Tautan Ukhuwwah" selain berkongsi perkembangan terkini tanah air bersama komuniti Malaysia dan penduduk tempatan luar negara. Saban tahun, Tuanku Syed Faizuddin Putra akan berkenan agar MAIPs mengadakan perkongsian pintar dan pengalaman bersama Majlis-majlis Agama di 6 Wilayah Andaman Thailand.  

Sesungguhnya, kesungguhan Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam mengangkasakan transformasi MAIPs tidaklah dapat diluahkan dengan paparan tulisan makalah seperti ini bahkan tulisan ini sudah pasti tidak akan dapat menceritakan setiap usaha Baginda. Namun, tulisan ini adalah sebahagian daripada gambaran yang menunjukkan kesungguhan dan ketinggian kasih Baginda kepada usaha-usaha memartabatkan Islam dan meninggikan peranan MAIPs.

MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH

             (Artikel ini dimuatkan dalam Majalah Tamadun Islam pada Mei 2017)