Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

MAIPs Sumbang RM15,000 Untuk Bantu Rakyat Malaysia Dalam Kesusahan Di Turki


ISTANBUL, Turki 4 Okt. 2018 (Khamis) - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini menyumbangkan sebanyak RM15,000 untuk Tabung Ibnu Sabil bagi kegunaan rakyat Malaysia yang dalam kesusahan di bandar ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan itu kepada Pengarah Tourism Malaysia di Istanbul, Zakaria Mohd. Nani di sini.

Yang turut menyaksikan penyerahan sumbangan ialah Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Menurut Mohd. Asri, rakyat Malaysia yang datang ke Turki terutama untuk menuntut ilmu tetapi ditimpa kesusahan, layak menerima manfaat daripada Tabung Ibnu Sabil itu.

"Mereka yang tergolong dalam kumpulan itu ialah seperti ketiadaan wang, jatuh sakit dan ditimpa kesusahan," katanya.

Tambah beliau, sebelum ini MAIPs turut memberi sumbangan yang serupa di negara-negara lain seperti Hong Kong, Dubai, Mesir, Arab Saudi dan China.

Menurut Zakaria, pada masa ini terdapat seramai 300 rakyat Malaysia yang menuntut ilmu di Turki dan ada antara mereka yang ditimpa pelbagai kesusahan.

"Sebelum ini, ada kes pelajar Malaysia yang kecurian sehingga tinggal sehelai sepinggang dan dengan wujudnya tabung ini, mudahlah untuk golongan itu dibantu," katanya.

Terdahulu pada sebelah petangnya, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan sumbangan sejumlah wang tunai kepada pihak Masjid Sultan Ahmad yang lebih dikenali sebagai Masjid Biru.

Pengurus Pusat Maklumat masjid berkenaan, Ahmet Abidi menerima sumbangan berkenaan.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE