Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Pantau, Nasihat Anak-Anak Yang Belajar Di Luar Negara - Raja Muda Perlis

 


 

ARAU, 6 Sept.2018 (Khamis)- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan para ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak mereka yang sedang menuntut ilmu di luar negara

Titah baginda, ibu bapa perlu sentiasa menasihatkan anak-anak mereka itu supaya mematuhi undang-undang dan menghormati segala peraturan serta adat resam di negara terbabit.

Selain itu, baginda turut mengingatkan mengenai aspek keselamatan yang perlu diutamakan apabila anak-anak ini berada jauh dengan keluarga khususnya di luar negara.

“Mereka (pelajar) perlulah melaporkan sebarang masalah kepada pihak kedutaan atau pejabat konsulat dan persatuan pelajar yang menaungi mereka di luar negara.

“Sebagai contoh bagi pelajar Perlis, mereka hendaklah menghubungi keluarga pelajar- pelajar Perlis di Mesir atau Ikatan Mahasiswa Pelajar Perlis di Jordan.

“Pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia dan pihak persatuan pelajar sekiranya terdapat keperluan-keperluan mendesak untuk para pelajar Perlis khususnya di negara-negara seperti Jordan, Mesir dan Arab Saudi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan dana awal daripada MAIPs kepada tujuh pelajar baharu dari Perlis yang akan melanjutkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan dalam satu majlis di Masjid Babul Ibadah Kampung Chemumar di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Mohamad Paisal Amri dan Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta negeri, Shahuddin Salleh.
 
Pelajar-pelajar yang berusia dalam lingkungan 18 dan 19 tahun lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) itu akan melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa, Kesusasteraan Arab dan Syariah.

Sementara itu, baginda turut menasihatkan para pelajar supaya mempersiapkan diri dengan kelengkapan ilmu dan segala kemahiran ketika di luar negara seterusnya menabur bakti di tanah air apabila bergraduasi kelak.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE