Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Sesuatu Peristiwa Sejarah Perlu Diajar Secara Menyeluruh - Raja Muda Perlis


 

KANGAR , 31 Ogos 2018 (Jumaat) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengesyorkan agar pengajaran subjek Sejarah di sekolah-sekolah perlu ditekankan mengenai sesuatu peristiwa yang berlaku secara keseluruhannya.

Titah baginda, aspek tersebut seperti apa yang mendorong ke arah terjadinya peristiwa, bagaimana seseorang itu terlibat dengan peristiwa dan kesan jangka pendek serta panjang selain pengajaran yang diperolehi dari peristiwa-peristiwa berkenaan.

“Tidak perlu terlalu banyak menyentuh atau semata-mata menghafal berkaitan tarikh yang tepat dala sejarah kerana ia sekadar melibatkan angka. Kita harus belajar daripada masa lampau supaya tidak mengulangi sebarang kesilapan yang sama. 

“Pada masa yang sama, kita hendaklah memanfaatkan segala kekuatan dan kelebihan mengenai apa yang telah diusahakan selama ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyertai program kayuhan berbasikal Merdeka 2018 sejauh 33 kilometer di sekitar kawasan Pak Bara Wilayah Satun, Thailand di sini hari ini.

Baginda turut diiringi oleh Ketua Polis Wilayah Satun, Major General Supawat Thabkliaw dan Pegawai Daerah Langu, Thanee Hayeemasalaeh.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Pegawai Kewangan negeri, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ketua Polis negeri, Datuk Azisman Alias.

Dalam kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan singgah dan meninjau beberapa pusat pentadbiran setempat, perkampungan nelayan, jeti feri ke Koh Lipe di Pak Bara selain berbasikal di sepanjang pesisir pantai berhadapan Lautan Andaman.

Program edisi ke-3 sambil membawa Jalur Gemilang itu diadakan di selatan Thailand bersempena Hari Kebangsaan yang sebelum ini pernah disertai baginda di Satun (2015) dan Songkhla (2016)

Sumber daripada UTUSAN ONLINE