Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Wilayah Satun Harap Kerajaan Malaysia Yang Baharu Teruskan Hubungan Baik Antara Dua Negara


 

SATUN, Thailand 22 Mei 2018 (Selasa) - Wilayah ini mengharapkan hubungan baik antaranya dan kerajaan Malaysia yang baharu, diteruskan pada masa depan demi manfaat kedua-dua belah pihak.

Gabenor Wilayah Satun, Patarapon Ratanaphichetchai berkata, wilayah itu dan Malaysia, khususnya Perlis mempunyai sejarah hubungan yang baik sejak sekian lama. 

Kata beliau, pihaknya justeru mengharapkan lebih banyak kerjasama seperti dalam sektor pelancongan dapat dirancang antara kedua-dua belah pihak. 

“Ini boleh dilakukan melalui MoU (memorandum persefahaman), apatah lagi apabila tapak Geopark Satun baru mendapat pengiktirafan daripada Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) sebagai tapak warisan pertama global di Thailand,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Ziarah Mahabbah Raja Muda Perlis Bersama Delegasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Wilayah Satun di sini semalam. 

Berangkat bercemar duli ke majlis itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. 

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan. 

Pada April lalu, Satun Geopark di selatan Thailand telah diiktiraf Unesco sebagai satu tapak warisan pertama global di negara tersebut. 

Undian itu diperoleh semasa sesi Lembaga Eksekutif Unesco kali ke-204 di Paris. 

Tapak warisan itu sebelum ini dikenali dengan kewujudan gunung-ganang batu kapur, fosil dan jaringan pulau yang indah sekali gus mampu menjadi tapak kajian budaya, geologi, pendidikan, pemuliharaan dan pelancongan secara holistik. 

Sementara itu, Syed Omar Sharifuddin berharap projek pembangunan untuk membina laluan pintu masuk ketiga antara Perlis dan Wilayah Satun di Batu Putih, Kuala Perlis menjadi kenyataan. 

“Kita percaya dengan pembukaan pintu masuk ini yang projeknya masih diteliti pihak kerajaan Pusat, hubungan baik antara kedua-dua (Wilayah Satun dan Perlis) dapat ditingkatkan khususnya dalam aspek pelancongan,” katanya. 

Pada program itu, lebih 150 golongan asnaf di wilayah berkenaan diberi sumbangan sempena Ramadan yang disampaikan oleh kedua-dua baginda.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE