Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Program Mahabbah Ramadan Raja Muda Perlis


 

SATUN, 22 Mei 2018 (Selasa) – Program Mahabbah Ramadan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara Perlis dan Selatan Thailand malah membuktikan cakna baginda terhadap golongan asnaf merentasi sempadan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata baginda sangat komited dalam menjayakan program itu dan setiap tahun berkenan melawat tempat-tempat terpilih di Wilayah Andaman di Selatan Thailand untuk meninjau masyarakat Islam di sana. 

“Terdapat enam Wilayah Andaman iaitu Krabi, Ranong, Phuket, Phang Nga, Trang dan Satun. Tahun keempat ini kami pilih Satun untuk menyantuni golongan asnaf di sini di samping dapat meluangkan masa berinteraksi dan memahami budaya tempatan. 

“Program ini menunjukkan keprihatinan baginda terhadap golongan memerlukan bukan sahaja terhad kepada rakyat di negeri baginda, malah rakyat di negara jiran juga mendapat perhatian baginda,” katanya semasa mengiringi baginda pada program berkenaan di sini, malam tadi. 

Beliau berkata sempena itu, baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan beramah mesra dengan penduduk di Kampung Che Bilang serta Pondok Mamba’ul Ulum sebelum mengakhiri program dengan solat Tarawih bersama penduduk di Masjid Darul Makwa di sini. 

Mohd Nazim berkata Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs juga berkenan menyampaikan sumbangan kepada 119 asnaf termasuk anak-anak yatim dan menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM5,000 untuk baik pulih Masjid Mahmudiah di Kampung Che Bilang. 

Sementara itu Gabenor Satun, Patarapon Ratanaphichetchai berkata program Mahabbah Ramadan itu turut membuka peluang kepada Perlis dan Satun untuk berkolaborasi dalam pelbagai bidang antaranya memajukan sektor pelancongan. 

“Pengiktirafan Satun Global Geopark oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) baru-baru ini membuktikan wilayah ini sangat berpotensi dalam bidang pelancongan. 

“Kami berharap selepas ini pihak kami dapat mengadakan perjanjian persefahaman dengan Perlis yang merupakan negeri paling hampir dengan Satun untuk bekerjasama bagi memajukan bidang pelancongan di kedua-dua negara,” katanya.

Sumber daripada BERNAMA