Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

TNB Perlu Lebar Perniagaan Dalam Teknologi Solar


 

KANGAR, 20 Mei 2018 (Ahad) - Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu melebarkan bidang perniagaannya dalam solar pada masa depan seiring dengan perkembangan teknologi semasa di seluruh dunia.

Pengurus Besar TNB Perlis (Bahagian Pembahagian), Abdul Aziz Yaacob berkata, teknologi solar adalah salah satu penyebab utama persaingan meningkat di dalam aspek penjualan elektrik kepada syarikat milik kerajaan (GLC) itu. 

Beliau sehubungan itu, mengalu-alukan lebih banyak pelaburan baharu dari dalam mahu pun luar negara ke negeri ini, khususnya berkaitan tenaga solar. 

“Pada masa depan, TNB kena ‘menjual’ produk teknologi solar untuk meningkatkan pendapatan kerana kita tidak lagi boleh mengharapkan perniagaan elektrik semata-mata,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek zakat perniagaan TNB bagi 2017 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Wisman TNB, di sini semalam. 

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menerima zakat berjumlah RM1.31 juta itu daripada Abdul Aziz. 

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. 

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan; Panglima 30 Briged, Brig. Jen Hashim Aman Shah dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin. 

Abdul Aziz seterusnya melahirkan kesyukuran kerana dapat menunaikan tanggungjawab syarikat menyerahkan zakat perniagaan iaitu RM1.31 juta berbanding RM1.2 juta pada 2016. 

Beliau juga bersyukur kerana pada setiap tahun Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bercemar duli menghadiri penyerahan zakat itu yang disekalikan dengan majlis berbuka puasa. 

Kepada satu soalan, beliau memberitahu, TNB akan meneruskan perniagaan seperti biasa meskipun tampuk kepimpinan kerajaan telah bertukar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seterusnya memberi sokongan kepada ‘kerajaan pada hari ini’.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE