Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Orang Ramai Dinasihat Beli Harumanis Perlis Secara Dalam Talian Melalui Pengeluar Sah - Raja Muda Perlis


KANGAR, 23 April 2018 (Isnin) - Orang ramai yang berhajat membeli mempelam Harumanis Perlis secara dalam talian adalah dinasihatkan supaya berhati-hati dengan hanya membeli daripada pengeluar sah dan bukannya daripada iklan-iklan di laman-laman sosial yang tidak dapat dipastikan kesahihan sumber buah itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bimbang kemungkinan buah yang dijual tersebut tidak berkualiti dan lebih malang dicuri.

“Belilah Harumanis Perlis daripada para pekebun yang memiliki kebun-kebun yang mempunyai sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) atau kebun-kebun yang dijamin kualiti buahnya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli menerima kunjungan sembah menghadap hormat oleh anggota Dewan Undangan Kerajaan Thailand, Datuk Anusart Suwanmongkol di sini semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya bertitah, oleh itu para penggemar Harumanis Perlis di negara ini bolehlah mendapatkan buah yang menjadi ikon negeri ini melalui promosi-promosi yang dibuat oleh pihak FAMA di seluruh negara atau pejabat-pejabat pertanian negeri mengikut tarikh-tarikh promosi yang dihebahkan.

“Mereka juga boleh mendapatkan secara langsung di Pusat Pertanian Bukit Bintang 1, Sungai Batu Pahat, Perlis pada setiap hari waktu pejabat.

“Seperti mana tahun lalu, kemunculan kemuncak musim Harumanis Perlis pada tahun ini dijangka berlaku di dalam bulan Ramadan dan rebutlah peluang untuk menikmati buah ini,” titah baginda.

Dalam pertemuan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut memaklumkan kepada Anusart yang mewakili kawasan Pattani mengenai hasrat MAIPs untuk melaksanakan satu program dengan kerjasama Universiti Fatoni (FTU) di negara tersebut, pada penghujung tahun ini.  

Sumber daripada UTUSAN ONLINE