Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Daftar dengan Jabatan Pertanian tingkatkan ilmu tanaman harumanis - Raja Muda Perlis


 

KANGAR, 20 April 2018 (Jumaat) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, menasihatkan para usahawan harumanis mahu pun rakyat Perlis yang menanam pokok itu secara kecil-kecilan agar mendaftar nama dengan Jabatan Pertanian negeri.

Baginda bertitah, langlah itu supaya mereka dapat mempelajari lebih banyak ilmu berkaitan pengendalian buah yang lebih berkualiti. 

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan majlis Pelancaran Jualan Mempelam Harumanis 2018 di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis Jabatan Pertanian negeri di Sungai Batu Pahat, di sini semalam. 

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. 

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Jawatan Kuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Ahmad Bakri Ali dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zulkefli Amin Mat Jusoh. 

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, menzahirkan rasa sukacita terhadap usaha keras Jabatan Pertanian negeri yang telah menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menghasilkan lebih banyak produk hiliran harumanis. 

“Antaranya Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah menghasilkan produk kosmetik, bahan kegunaan harian seperti sabun dan krim mandian. 

“Penghasilan produk ini mampu membuka peluang kepada rakyat Perlis menerokai produk hiliran harumanis yang baharu. Malah daun harumanis pula berjaya diproses sebagai teh,” titah baginda. 

Turut diadakan bersempena program tersebut ialah penyerahan agihan zakat kepada seramai 120 orang penerima berjumlah RM600 seorang selain program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Kali Ke-30 bagi 2018. 

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian negeri turut memperkenalkan penggunaan sistem Kod Maklum Balas Pantas (Kod QR) untuk harumanis, hasil kerjasama dengan sebuah syarikat swasta bagi tujuan mengesan maklumat asal pengeluaran mempelam tersebut. 

Pada tahun ini juga, orang ramai berpeluang untuk menikmati lebih banyak produk baharu berasaskan harumanis seperti ais krim harumanis, nasi dagang harumanis, kuih akok harumanis, dadih harumanis dan pau harumanis.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE