Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Jangan Percaya Mitos Untuk Rawatan Denggi - Raja Muda Perlis


 

KANGAR, 18 April 2018 (Rabu) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, menasihatkan rakyat tidak mudah terpedaya dengan pelbagai mitos untuk merawat penyakit demam denggi termasuk dengan semata-mata meminum air rebusan daun ketum untuk mengubatinya.

Baginda bertitah, selain itu, ada juga yang percaya merawat demam denggi hanya dengan semata-mata meminum air daun betik dan sup ketam. 

Sebaliknya titah baginda, cara yang terbaik untuk mengubati penyakit itu adalah dengan mendapatkan rawatan segera di hospital atau klinik yang berhampiran. 

“Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku akibat pesakit itu lambat diberikan rawatan yang sepatutnya,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Program Promosi Kawalan Denggi Sekolah Kebangsaan (SK) Behor Empiang 2018 di Jalan Abi Tok Hashim di sini hari ini. 

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. 

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Guru Besarnya, Akmal Mat Rata. 

Program anjuran sekolah tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta beberapa agensi lain. 

Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya bertitah, demam denggi merupakan penyakit berjangkit yang boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera, malah sehingga kini masih belum ada ubat khusus untuk mengubati penyakit tersebut. 

Baginda bertitah, meminta semua rakyat pada setiap minggu supaya mencari dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes dan membersihkan semua tempat takungan air. 

Baginda turut bertitah, mengajak segenap lapisan masyarakat bersatu hati dalam melaksanakan misi menggempur denggi bagi menyelamatkan ahli keluarga dan masyarakat. 

Untuk rekod yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri, terdapat lapan buah kawasan di negeri ini telah dikenal pasti mempunyai kadar indeks pembiakan nyamuk aedes yang tinggi dan berpotensi menyebabkan penularan wabak demam denggi.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE