Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

MAIPs Terus Cemerlang - Raja Muda Perlis

 

KANGAR,14 April 2018 (Sabtu) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan rasa syukur dengan kecemerlangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta agensi agama Islam di negeri ini yang telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program mengikut sasaran ditetapkan.

Dalam masa sama, baginda turut mengucapkan tahniah kepada keluarga besar MAIPs yang bertungkus-lumus memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan setiap program. 

Selain itu, baginda juga melihat pelbagai inisiatif dan daya usaha semua jabatan di negeri ini dalam meningkatkan kredibiliti dan nama baik masing-masing.

Baginda bertitah, tahun lalu telah menyaksikan beberapa perubahan dan lonjakan positif dalam pencapaian hala tuju MAIPs dan semua jabatan terbabit termasuklah dengan mencatat sejarah sebagai majlis agama Islam pertama di negara ini dianugerahkan Sijil Pematuhan Standard Accounting for Government Agencies (SAGA).

“Lebih manis apabila MAIPs juga menjadi satu-satunya agensi kerajaan di Perlis sebagai penerima anugerah ini

“Selain itu, antara kejayaan lain adalah dengan perlaksanaan projek mercu tanda MAIPs seperti perasmian bangunan Pusat Pengurusan Jenazah Darul Abrar MAIPs, di Kubang Gajah, Arau yang menggunakan dana wakaf, “ titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli pada Majlis Aspresiasi Perkhidmatan Cemerlang 2017 bagi jabatan dan agensi agama Islam negeri ini di Kelab Golf Putra, Batu Pahat di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan.

Pada majlis tersebut, Baginda turut berkenan menyampaikan anugerah cemerlang dan keterampilan kepada kakitangan MAIPs; JAIPs; Jabatan Mufti negeri; Jabatan Kehakiman Syariah negeri dan pejabat Tuanku Raja Perlis.

Selain itu, Utusan Malaysia dan beberapa agensi media lain di negeri ini turut menerima anugerah khas yang disampaikan sendiri oleh Raja Muda Perlis dalam suasana santai di padang kelab golf berkenaan.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE