Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Mara Anjur Klinik Bahasa Inggeris Kepada Pelajar Golongan Susah

ARAU,13 April 2018 (Jumaat) - Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri telah menganjurkan program 'English Language Clinic & Smart Design Clinic' kepada para pelajar tahun enam di kawasan luar bandar yang tergolong dalam keluarga berpendapatan rendah, bagi membantu mereka meningkatkan penguasaan bahasa itu.

Sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh dan SK Guar Nangka. 

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancarannya yang diadakan di Dewan Sharifah Khatreena Nuraniah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau, Pauh Putra.

Baginda bertitah, penguasaan bahasa Inggeris penting untuk menguasai kemahiran teknologi pada zaman ini yang secara tidak langsung memudahkan segala urusan di tempat kerja dan di dalam urusan seharian.

“Ini bersesuaian dengan objektif Mara iaitu untuk melahirkan modal insan global dan berintegriti serta membangunkan usahawan berjaya dan inovatif pada masa hadapan,” titah baginda.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Zulfikri Osman dan Pengarah Mara negeri, Lukman Hakim Hasan.

Menurut Lukman Hakim, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah sebahagian daripada aktiviti sempena meraikan Sambutan Ke-52 Tahun Mara di peringkat negeri.

Katanya, ia bertujuan supaya dapat memberi nilai tambah kepada para pelajar berkaitan pentingnya sikap sentiasa cintakan kepada ilmu dengan menguasai bahasa Inggeris dan penggunaan teknologi dalam pembelajaran seharian.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan tajaan pendidikan MAIPs berjumlah RM15,460 kepada pihak MRSM Arau bagi membantu lima orang pelajar daripada keluarga asnaf.

Sumbangan itu diterima oleh pengetuanya, Abdul Rahim Abdul Wahab.

Inisiatif yang memasuki tahun kedua penganjurannya oleh MAIPs itu adalah melalui kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Mara dan Jabatan Pendidikan negeri.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE