Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Perlis Larang Calon Pilihan Raya Jadi Imam, Kempen Politik Di Masjid

 

KANGAR, 13 April 2018 (Jumaat) - Seluruh masjid di negeri ini diingatkan supaya tidak membenarkan mana-mana calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau wakil parti politik menjadi imam untuk solat fardhu, jenazah serta sunat di sekitar pagar, kawasan dan di dalam rumah ibadah umat Islam itu.

Dalam masa sama, segala kempen politik termasuk memasang bendera dan simbol, turut dilarang sama sekali di kawasan masjid di negeri ini. 

Perkara tersebut termaktub dalam surat makluman bertarikh 9 April yang ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan seterusnya dikongsi oleh Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dalam Facebooknya hari ini.

Hazman berkata, calon yang bertanding atau wakilnya adalah dilarang menyampaikan khutbah, ceramah, kuliah, tazkirah, taklimat atau penerangan serta ucapan di pagar, kawasan serta di dalam masjid.

Selain itu, katanya, mereka juga dilarang mengetuai acara agama seperti bacaan doa, zikir dan selawat.

“Calon-calon yang bertanding atau wakilnya adalah dilarang menjadi imam kepada mana-mana solat fardu, jenazah atau solat sunat kecuali solat fardu dan solat jenazah dalam keadaan masbuk (terlewat) sama ada di pagar masjid, di kawasan masjid mahupun di dalam masjid.

“Masjid-masjid di seluruh negeri ini hendaklah kekal sebagai tempat ibadah dan tempat perpaduan ummah yang mengatasi unsur politik kepartian dan agenda pilihan raya,” kata Hazman.

Tambah Hazman, seluruh pegawai dan ahli jawatan kuasa kariah masjid khususnya, hendaklah memastikan larangan tersebut dipatuhi sepanjang masa.

“Sebarang pelanggaran atau pencerobohan hendaklah ditegah serta-merta dan dilaporkan kepada jabatan ini secepat mungkin,” katanya.

Kata Hazman, larangan tersebut dikeluarkan sebagai menjunjung titah perintah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE