Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Jangan Berpolitik Dalam Masjid- Raja Muda Perlis


 

KANGAR, 16  Mac 2018 (Jumaat)- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegur segelintir pendakwah dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang membawa unsur politik kepartian dalam ceramah agama dan urusan pentadbiran masjid.

 

Beliau berkata perkara berunsur politik tidak sepatutnya dicampur-adukkan dalam urusan dakwah dan pengurusan masjid bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ummah.

 

"Seseorang pendakwah itu perlu berakhlak terpuji, beretika dan bersifat mulia sebagai 'qudwah hasanah' kepada masyarakat kerana akhlak, keperibadian dan penampilan seseorang pendakwah itu akan menjadi sandaran, cerminan serta rujukan kepada umum.

 

"Perkara asas yang perlu diambil berat oleh seseorang pendakwah itu adalah menjaga pergaulan dan perbuatan mereka daripada perkara yang boleh menimbulkan sebarang bentuk fitnah dan menyebabkan orang di sekelilingnya memandang serong akan peranan pendakwah tersebut," katanya.

 

Beliau juga menyarankan agar pendakwah menggunakan pendekatan dakwah secara lembut dan berhikmah dengan menunjukkan contoh terbaik dan kelebihan dalam melakukan kebaikan agar kefahaman masyarakat lebih jelas.

 

Tuanku Syed Faizuddin turut menegaskan bahawa pendakwah perlulah menjadi 'ejen' atau pihak yang akan memperbetulkan sebarang salah tanggapan masyarakat mengenai isu berkaitan zakat dan wakaf yang kadangkala viral di media sosial, supaya tidak berlaku salah faham dalam kalangan mereka. "Masjid adalah medan bagi menyampaikan dakwah kepada umat Islam dan juga masyarakat bukan Islam.

 

"Hanya mereka yang bijak serta berpandangan jauh mampu membezakan antara keinginan peribadi dan kepentingan organisasi.

"Malah masjid mestilah bebas dari terjerumus dalam kancah politik kepartian dan hendaklah patuh dan akur terhadap dasar-dasar negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Negeri Perlis (MAIPs).

 

"Individu yang menganggotai Ahli Jawatankuasa Kariah hendaklah profesional dan tidak terbawa-bawa fahaman politik dalam gerak kerja dalam urusan pentadbiran masjid dan kariah, walaupun terdapat cadangan agar ditangguhkan pelaksanaan Muktamar Agung Jawatankuasa Kariah kerana kedatangan Pilihan Raya Umum ke-14," katanya.

Tuanku Syed Faizuddin berkata demikian pada Program Multaqa Pendakwah MAIPs Tahun 2018 di Dewan Bakawali, Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia di sini.

Yang turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

 

Pada majlis itu, Tanku Syed Faizuddin turut berkenan memberikan Sumbangan Bantuan Penyelenggaraan Masjid Negeri Perlis bagi Tahun 2018 dari MAIPs berjumlah RM525,000 kepada 105 buah masjid di seluruh Perlis.

Sumber daripada Berita Harian