Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Ahli Jawatankuasa Kariah Perlu Profesional, Tidak Cenderung Berpolitik - Raja Muda Perlis


 

KANGAR, 16 Mac 2018 (Jumaat) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan supaya Ahli Jawatankuasa Kariah baharu yang bakal dipilih semasa sidang Muktamar Agung tidak lama lagi, bersikap profesional dan tidak terbawa-bawa kecenderungan berpolitik kepartian.

 

Baginda bertitah, ahli jawatankuasa itu juga perlulah bebas daripada pemahaman dan pegangan pandangan agamanya dalam gerak kerja mentadbir masjid dan kariah, serta patuh terhadap dasar-dasar negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Beta berharap supaya semua pihak terlibat menjalankan tanggungjawab sebaiknya untuk memilih mereka yang berkelayakan dan sesuai bagi menggalas amanah sebagai Jawatan Kuasa Kariah.

“Sikap matang dan profesional dalam sesuatu pengurusan organisasi akan mencerminkan ketinggian pemikiran dalam tindakan dan gerak kerja. Hanya mereka yang bijak dan berpandangan jauh sahaja mampu membezakan antara keinginan peribadi dan kepentingan organisasi,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli bagi merasmikan Program Multaqa Pendakwah MAIPs, Bagi 2018’ di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri di sini hari ini.

Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya bertitah melahirkan keyakinan bahawa sidang Muktamar Agung Jawatankuasa Kariah akan berjalan lancar kerana percaya yang rakyat negeri ini sentiasa menjunjung etika profesionalisme dan matang dalam berfikir.

“Ini selaras dengan slogan ‘Perlis Hebat-Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’. Ini kerana ada cadangan untuk menangguhkan pelaksanaan muktamar ini kerana musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” titah baginda.

Baginda turut bertitah bahawa jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari akan ditentukan oleh MAIPs dan bukannya oleh sidang muktamar.

“Perkara ini adalah selari dengan Peraturan 12 yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Jawatan Kuasa Kariah Negeri Perlis 1990,” titah baginda.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuudin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs memaklumkan bahawa majlis itu telah bersetuju memberikan sumbangan bantuan penyelenggaraan masjid negeri bagi 2018 sebanyak RM525,000 untuk kegunaan 105 buah masjid di seluruh Perlis.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE