Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Sambutan Ulang Tahun KUIPs Meriah


 

KANGAR, 15 Mac 2018 (Khamis) - Sambutan ulang tahun kelima Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di sebuah hotel di sini semalam, berlangsung sederhana tetapi meriah dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis,Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

 

Majlis makan malam itu diadakan untuk turut mengalu-alukan kedatangan Presiden Persatuan Universiti Islam Asia (AIUA), Prof. Drs KH Yudian Wahyudi dan delegasinya untuk menghadiri mesyuarat kali ketujuh AIUA yang dihoskan KUIPs.

Selain daripada itu, juga diadakan Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi (ICOD) 2018 - 'Strategi Menstruktur Semula Radikalisasi Dalam Melawan Keganasan'.

Kedua-dua program tersebut telah diadakan pada hari ini.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Rektor KUIPs, Prof. Madya Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam serta para pegawai kanan kolej universiti.

Dalam titah baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor KUIPs mengucapkan tahniah kepada institusi itu di atas sambutan lima tahun penubuhannya setelah mengharungi pelbagai cabaran yang mendewasakannya dalam dunia pendidikan berteraskan Islam.

"Beta berharap agar seluruh warga KUIPs akan terus bersemangat, beriltizam, berkembang maju serta menempa lebih banyak kejayaan demi kejayaan pada masa-masa yang akan datang, Insya Allah," titah baginda.

Terdahulu pada sebelah petangnya, baginda beserta kepimpinan tertinggi KUIPs dan para delegasi AIUA mengambil bahagian di dalam program kayuhan amal 'MAIPs Peduli Kali Ke-21 bagi 2018'.

Untuk rekod, KUIPs yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mempunyai seramai 564 orang pelajar dengan mana 10 peratus daripadanya adalah pelajar luar negara.

Bermula pengambilan April nanti KUIPs akan mempunyai seramai 64 orang pelajar antarabangsa berbanding 42 pada ketika ini iaitu dari Thailand, Indonesia, Uzbekistan, China dan Sierra Leone.

 Sumber daripada UTUSAN ONLINE