Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Raja Muda Perlis Bangga Kuips Anjur Mesyuarat AIUA


ARAU, 15 Mac 2018 (Khamis) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan rasa bangga dan sukacita baginda kerana Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah terpilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Mesyuarat Persatuan Universiti Islam Asian (AIUA) Kali Ketujuh, meskipun baru berusia lima tahun.

 

Baginda bertitah, AIUA yang ditubuhkan pada April 2015 dengan keahlian 75 buah universiti di rantau ini, diharap mampu menerajui ummah untuk menghapuskan kemiskinan menerusi peningkatan taraf pendidikan penduduknya.

"Beta melihat terdapat kepentingan penubuhan AIUA iaitu untuk memartabatkan pendidikan Islam dan meningkatkan sosioekonomi ummah. Selain itu membantu institusi anggota dalam memperkuatkan diri melalui kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan awam.

"Dengan itu, setiap institusi diharap akan boleh menyumbang kekuatan kepada negara masing-masing dan seluruh wilayahnya," titah baginda.

Demikian titah baginda yang juga Canselor KUIPs selepas berkenan berangkat bercemar duli mengambil bahagian di dalam program berbasikal yang disertai oleh Presiden AIUA, Prof. Drs KH Yudian Wahyudi serta delegasinya yang disekalikan dengan program ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ Kali Ke-21 tahun ini bagi menyampaikan sumbangan MAIPs kepada para asnaf terpilih.

Kayuhan sejauh 12 kilometer itu bermula dan berakhir di Masjid Kampung Sentua, Utan Aji, di sini semalam.

Keberangkatan baginda disambut oleh Rektor KUIPs, Prof. Madya Dr. Mohd. Mizan Mohamad Aslam. Turut hadir Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Yudian Wahyudi yang juga Rektor Universiti Islam Sunan Kalijaga, Yogyakarta, Indonesia ketika ditemui melahirkan perasaan terujanya dengan aktiviti kayuhan amal yang diketuai Tuanku Syed Faizuddin Putra dan diiringi ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.

Program itu terpancar keikhlasannya yang diibaratkan beliau seperti di zaman Rasulullah SAW dan juga para sahabatnya.

Untuk rekod, AIUA telah ditubuhkan semasa Persidangan Meja Bulat Peringkat Institusi Tinggi Islam Malaysia bersempena Deklarasi Riau.

KUIPs merupakan salah satu anggota pengasas kepada penubuhan AIUA ini. Bagi  program di Perlis kali ini, sebanyak 15 buah universiti dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei Darussalam dan Turki mengambil bahagian.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE