Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Adat Istiadat Melayu Harus Dipertahan, Disubur Kerana Mempunyai Signifikan Kepada Islam


ARAU, 8 Mac 2018 (Khamis) - Adat dan istiadat Melayu haruslah dipertahan dan disuburkan pada masa hadapan kerana mempunyai peranan yang signifikan kepada agama Islam.

 

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penjagaan adat ini yang berterusan mampu mencerminkan ketinggian penghayatan agama pada diri seseorang.

Titah baginda, adat yang dikaitkan dengan ketertiban, bersopan-santun dan berbudi-pekerti itu juga boleh menunjukkan jati diri seseorang.

“Sebagai seorang Muslim, penghayatan dan pengamalan adab, adat, pekerti dan budaya yang baik serta mulia, harus ditonjolkan kerana ia memberikan imej yang baik terhadap agama Islam

“Maka sebab itu, dalam adat Melayu seperti soal peminangan, amat menitikberatkan kepada hukum-hakam agama yang turut mencerminkan ketinggian budi-pekerti bangsa Melayu itu sendiri.

“Sikap malu pada seorang anak gadis merupakan cerminan kepada penghayatan agama dan jati diri yang menjadi ciri dan asas sebagai seorang anak gadis Melayu yang beragama Islam,” titah baginda.

Demikian titah baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan berangkat mempengerusikan mesyuarat jawatan kuasa adat istiadat Melayu majlis agama itu buat kali kedua tahun ini, di Istana Arau di sini semalam.

Keberangkatan baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr. Syed Omar Syarifuddin Syed Ihsan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Yang turut hadir, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan bekas Datuk Bentara Istana Negara, Datuk Mohiyaddin Che Jan.

Pada akhir majlis, baginda berkenan menerima persembahan dua naskhah buku iaitu ‘Pahlawan Tegar Merdeka’ daripada penulisnya sendiri iaitu Pengarah Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam dan ‘Kamus Dialek Perlis’ yang dihasilkan oleh Wan Nan Wan Mahmud daripada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan.

Sumber daripada UTUSAN ONLINE