Berita Terkini
Memiliki Ilmu Pengetahuan, Peribadi Terpuji Ukuran Kejayaan Pelajar
KANGAR , 3 April 2018 (Selasa) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menegaskan bahawa ukuran kejayaan dan kecemerlangan seseorang pelajar dalam bidang akademik dan kehidupannya adalah dengan memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi yang disulami oleh keperibadian terpuji.
Baginda bertitah, justeru dalam usaha melahirkan generasi muda yang berkualiti dan bermentaliti kelas pertama, pendidikan merupakan satu wahana penting.
“Ini diperlukan dalam membentuk generasi baharu negara berilmu, berakhlak dan memiliki sahsiah diri yang terpuji,” titah baginda.
Demikian titah baginda yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, Simpang Empat Bagi 2018’ di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua ke sesi ke-10 bagi tahun ini disambut oleh pengetua sekolah, Norinah Sharrie beserta ketua penyelaras program, Azuan Mohd. Nasir dan Hakim Khan.
Turut mengiringi baginda berdua ialah Setiausaha YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd. Darus dan seramai 240 orang pelajar tingkatan satu, dua dan tiga sekolah itu.
Program anjuran YTSP Perlis tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, ilmu pengetahuan akan menjamin seseorang itu daripada dimanipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab dan mampu menyelesaikan sebarang permasalahan dan cabaran dengan cara yang terbaik dan berkesan.
“Selain itu, ilmu pengetahuan mampu melahirkan insan bermoral tinggi yang mematuhi ajaran agama serta mengetahui dan menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan sejajar perkembangan dunia yang sentiasa berubah,” titah baginda.
Bersempena program tersebut, baginda turut berkenan melancarkan sebuah kebun milik sekolah itu yang menempatkan sebanyak 30 batang pokok harumanis organik yang menggunakan baja kompos, disediakan sendiri oleh para pelajar orang kurang upaya (OKU) di sekolah itu.
Sumber daripada UTUSAN ONLINE