Berita Terkini
Bukan Untuk Penuhi Kepentingan Individu
KANGAR , 28 Mac 2018 (Rabu) - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang ditubuhkan untuk menguruskan zakat sentiasa memastikan amanah tersebut dilaksana mengikut garis panduan ditetapkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor.
Beliau berkata, program yang dilaksanakan MAIPs juga tidak bertujuan memenuhi kepentingan individu tertentu.
"MAIPS tidak dimiliki oleh sesiapapun kerana ia adalah sebuah institusi agama Islam yang memelihara amanah dan boleh diharapkan oleh masyarakat Islam,” katanya pada majlis Apresiasi Penyumbang Zakat Pendapatan Tahun 2017 dan Penyerahan Bantuan Dermasiswa Pelajar Perlis ke Timur Tengah di Kelab Golf Putra, Sungai Batu Pahat dekat sini, hari ini.
Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menghadiri majlis itu serta menyampaikan dermasiswa tersebut.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembangunan Sumber Manusia Perlis, Datuk Khairi Hassan dan Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Seramai 76 individu yang sedang dan akan melanjutkan pengajian ke Jordan dan Mesir menerima sumbangan pada hari ini melibatkan jumlah keseluruhan RM424,500.
Mohamad Abdullah yang menerima dermasiswa RM6,000 bagi pihak anaknya, Marhaini Khairani, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keperihatinan MAIPs membantu meringankan beban membiayai pengajian Marhaini di Universiti Tanta, Mesir dalam bidang pergigian.
Katanya, pengajian anaknya adalah atas pembiayaan sendiri memandangkan Marhaini tidak mendapat penajaan.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan plak kepada 170 agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta yang membayar zakat kepada MAIPs.
Sumber daripada Bernama